Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Disediakan

0 Comments
Assalamualaikum, salam sejahtera.

Tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai kuih muih yang sedap dan kita suka, dijual di pasar malam, di warung tepi jalan dan di kedai-kedai. Mudah nak dapatkan. Namun begitu, alangkah baiknya jika kita dapat buat sendiri kuih muih kegemaran kita tu kan. Ada beberapa kuih muih yang saya sangat gemar memakannya dan mudah pula untuk menyediakannya. Malah ianya merupakan kuih muih yang biasa dibuat oleh mak saya dahulu. Antara kuih muih yang menjadi kegemaran saya ialah, kuih seri muka, kuih koci pulut hitam, kuih ketayap, kuih kaswi dan kuih apam beras. Emm..... Semua kuih muih ni sedap tau, terutama kalau mak saya yang buat. Orang kata, apa saja makanan, hasil air tangan mak kita, itulah yang paling sedap kan....

Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Disediakan

Kalau ada masa yang terluang, saya pasti akan membuat sendiri kuih muih kegemaran saya ni. Ini kerana hasilnya pasti lebih terjamin dari segi rasa dan kebersihannya kan..... Mesti rasa lebih puas hati kan, dapat makan kuih hasil dari air tangan kita sendiri. Untuk suami dan anak-anak, keberkatan dalam penyediaan kuih muih itu adalah yang paling utama.

Jadi di sini saya nak kongsikan resepi-resepi kiuh muih kegemaran saya yang sedap dan mudah disediakan. 


Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Disediakan

1. Resepi Kuih Seri Muka Mudah Dan Sedap
Bahan-bahan Untuk Lapisan Bawah :
1 cawan beras pulut
1 cawan santan
Secubit garam

Bahan-bahan Untuk Lapisan Atas :
1 cawan santan
5 helai daun pandan - blend dengan air, dan tapis
1/2 cawan gula pasir
1 biji telur
2 sudu besar tepung gandum
Secubit garam

Cara Menyediakannya :
1. Basuh beras pulut sehingga bersih.
2. Campurkan beras pulut bersama santan dan secubit garam.
3. Masak guna rice cooker jer, senang kan.
4. Bila pulut dah masak dan agak suam, masukkan dalam loyang dan tekan hingga sejat.
5. Masukkan bahan-bahan lapisan atas ke dalam blender kecuali daun pandan
6. Blend kesemuanya hingga hancur dan sebati.
7. Tapiskan bahan yang telah diblend ke dalam loyang pulut tadi.
8. Kukus selama 30 minit denga api yang sederhana.
9. Biarkan sejuk, baru dipotong dan sedia dihidangkan.
Kuih seri muka ni, sesuai untuk di buat minum pagi atau petang.
** Jangan lupa, cuba resepi ni tau.


Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Disediakan

2. Resepi Kuih Koci Pulut Hitam
Bahan-bahan Untuk Inti :
Sebiji kelapa parut yang muda
1 cawan gula merah 1 cawan air daun pandan - didihkan dan tapis.
2 sudu besar gula pasir
Secubit garam - untuk rasa lemak
Sedikit tepung jagung untuk kentalkan inti

Cara Penyediaannya :
Campurkan semua bahan, kecuali tepung jagung, masukkan 1 cawan air lagi dan masak inti hingga agak kering, masukkan tepung jagung, kacau hingga kering. Tepikan.

Bahan-bahan Untuk Tepung :
1 1/2 cawan tepung pulut
1/2 cawan tepung pulut hitam
1 sudu besar tepung gandum
1 cawan air, ikut kelembutan.

Cara Penyediaannya :
Satukan semua tepung dan bancuhkan dengan air sedikit-sedikit, hingga menjadi doh yang lembut...

Bahan-bahan Untuk Santan :
2 cawan santan dari sebiji kelapa
3 sudu besar tepung beras
1 helai daun pandan
Secubit garam

Cara Penyediaannya :
Campurkan semua bahan dan kacau atas api sederhana hingga pekat. Tepikan.

Cara Penyediaan Kuih Koci :
Ambil doh tepung anggaran 20g, leperkan dan masukkan inti, bulatkan dan ketepikan. Buat sampai tepung habis. Panaskan air dalam periuk hingga menggelegak, masukkan kuih tadi dan biar hingga kuih koci timbul, macam buat kuih buah melaka tu.....

Angkat dan masukkan kuih koci ke dalam santan. Ambil daun pisang yang sudah di gunting, sapukan sedikit minyak, letakkan kuih koci, sudukan sedikit santan dan bungkus kemas. Kukus dalam 5 minit bagi mendapatkan aroma daun pisang. Siap dan sedia dihidangkan. Kuih koci ni sedap dimakan bila hangat-hangat tu tau. Sesuai juga untuk dihidangkan dalam majlis seperti kenduri.....
**selamat mencuba.....


Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Disediakan

3. Resepi Kuih Ketayap / Kuih Gulung
Bahan-bahan Untuk Inti :
1/2 biji kelapa parut
1/4 cawan gula kabung / gula melaka
1/2 cawan gula pasir
Sehelai daun pandan
1/4 cawan air

Cara Penyediaan Inti :
1. Gaulkan semua bahan inti dalam kuali, jerang atas api yang sederhana.
2. Kacaukan inti hingga merengas dan separa kering. Angkat dan tepikan.

Bahan-bahan Untuk Kulit :
1 cawan tepung gandum
1 cawan jus air pandan (5 helai daun pandan 1 cawan air, blend dan tapiskan)
1/2 cawan santan / susu segar / air
1 biji telur
Pewarna hijau
Secubit garam

Cara Untuk Penyediaan Kulit :
1. Satukan semua bahan dalam mangkuk, kacau rata, masukkan adunan ke dalam blender
    dan blend sebati dan halus.
2. Panaskan kuali leper, oleskan dengan minyak.
3. Tuangkan sesenduk adunan, lenggangkan kuali tadi supaya adunan tu rata dan nipis.
    Setelah masak, angat dan tepikan. Buat sampai adunan habis.
4. Bentangkan kulit tadi, letak inti di atasnya, lipat bahagian kiri dan kanan, gulung kemas.
    Buat hingga habis. Sedia untuk dihidangkan. Sangat sesuai di buat minum petang.
** Mudah, sedap dan muai, boleh makan sekeluarga. Cuba jangan tak cuba ye.


Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Disediakan

4. Resepi Kuih Kaswi (loyang 10" x 10")
Bahan-bahannya :
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2 keping gula melaka - saya guna 2 1/4 keping saiz sederhana.
1 cawan gula pasir
7 cawan air
1 sudu kecil kapur - bancuh dengan sedikit air

Bahan Lain :
Kelapa parut muda dan secubit garam - gaulkan

Cara Penyediaannya :
Masak air dengan gula melaka dan gula pasir sehingga mendidih dan sedikit pekat. Sejukkan sehingga agak suam.

Satukan tepung gandum dan tepung ubi, masukkan ke dalam air gula tadi. Kacau sebati. Boleh rasa adunan ni, kalau kurang manis, boleh tambah sedikit gula. Akhir sekali masukkan air kapur dan kacau sebati. Tapis adunan.

Panaskan loyang dalam kukusan, setelah loyang panas, tuang adunan tadi ke dalam loyang dan kukus selama 45 minit atau sehingga cukup masak.

Setelah kuih masak, sejukkan. Bila dah sejuk, bolehlah dipotong. Hidangkan dengan kelapa parut tadi. Sangat sesuai dibuat minum petang.
** selamat mencuba.....


Kuih Tradisional Kegemaran Saya Yang Sedap Dan Mudah Untuk Dsediakan

5. Resepi Apam Beras Gebu
Bahan-bahannya :
2 cawan nasi sejuk
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan brown sugar
3/4 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
2 sudu kecil yis kering - mauripan
Pewarna makanan ikut suka

Kelapa parut putih - gaul dengan sedikit garam, kukus. 

Cara Penyediaannya :
1. Blend nasi sejuk dan air hingga hancur. Masukkan brown sugar dan gula pasir, blend lagi. 
2. Dalam bekas lain, satukan tepung gandum, tepung beras dan yis. Kacau rata. 
3. Masukkan bahan yang diblend tadi ke dalam bekas tepung. Kacau sebati. Tambahkan pewarna ikut suka. Perap selama 3 jam. 
4. Didihkan air dalam kukusan.  Sapu sedikit minyak pada acuan kecil. 
5. Sudukan adunan ke dalam acuan kecil, kukus selama 15 - 20 minit dengan api besar. 
6. Setelah kuih masak, keluarkan dari acuan, hidangkan dengan kelapa parut tadi.
** selamat mencuba ye..... 

Semoga perkongsian ini akan memberi manfaat kepada anda.....



Terima kasih. 

Salam ceria, Aini.....


You may also like

Tiada ulasan:

VitaVitamin 2016. Dikuasakan oleh Blogger.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...